Angin sepoi-sepoi bahasa. Mencuit manja helai-helai lipatan kain itu. Seronok melihat kanak-kanak itu berlari tanpa rasa bimbang hari-hari mendatang. Aku masih di sini menatap mengaduh kisah silam yang tidak berpenghujung tetapi kini menjadi madu dalam diari hidupku.
“Alhamdulillah, satu perjalanan panjang. Proses yang berliku-liku, akhirnya Allah mengizinkan aku merasai nikmat keluar dari dunia gelap itu.
"Terima kasih ya Allah"
Kerana peristiwa itu aku menjadi kuat.
“Ketika itu aku bertugas di sebuah kompeni swasta. Masa tu aku sendiri masih ‘free hair’dan agak'bersosial' kerana tuntutan tugasku. Pelbagai larangan agama yang aku langgar.
“Satu hari seorang wanita akhir 20’an, dimasukkan ke dalam wad yang kebetulan aku menjadi jirannya. Aku terpaksa ditahan di wad kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya. Aku menjadi rapat dengan wanita itu. Acapkali aku datang melawatnya walaupun aku telah keluar dari wad.
Sakitnya wanita itu agak kronik. Acap kali dia pengsan kerana penyakitnya. Sebaik tersedar, pertanyaan pertamanya ialah, apakah sudah masuk waktu solat? Kemudian dengan cepat dia akan membetulkan kain tudung yang menutup auratnya. Dia sangat prihatin dengan solat dan auratnya.Wanita ini sangat baik, tutur katanya lembut dan berakhlak. Dia paling menjaga waktu solat dan sentiasa dalam keadaan menutup aurat kerana ada juga petugas dan doktor lelaki yang bertugas di dalam wad itu.
Perihal sikapnya yang sangat menjaga waktu solat dan penutupan aurat itu sudah menjadi ‘trade mark’nya dan telah dimaklumi oleh petugas hospital dan pesakit di wad berkenaan. Bukan sahaja yang muslim, malah doktor dan petugas bukan Islam pun menghormati prinsip wanita tersebut.
Tetapi sakit barahnya semakin kritikal. Kira-kira sebulan kemudian dia meninggal dunia. Hari kematiannya itu yang paling mengesankan. Dan aku berada di situ lewat kematiannya.
Ketika meninggal dunia kain tudung yang menutup wajahnya terbuka sedikit kerana mukanya sudah jatuh di sebelah. Beberapa helai rambutnya terjuntai keluar. Dengan segera seorang doktor bukan Islam segera berkata pada jururawat di situ agar cepat-cepat menutup rambutnya yang terkeluar.
Aku terkejut. MasyaAllah.
Sejak itu aku tekad untuk menutup aurat dan mentaati perintah agama..